KUCHING, 23 Jun: Persahabatan antara mantan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bersama Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang terjalin sejak zaman kanak-kanak.
Menurut Rohani, pertalian itu bermula menerusi hubungan rapat antara bapanya dan kakak Allahyarhamah Juma’ani yang sering bertukar-tukar resipi.
“Jika beliau nampak saya, terutamanya jika pertemuan berlaku secara spontan, beliau pasti berkata, ‘kenapa tidak beritahu nak datang, kita boleh masak sama-sama’.
“Saya rasa kehadiran saya seperti menjadi pencetus semangat untuk beliau memasak, kerana memasak adalah antara kegemaran arwah,” katanya ketika memberi penghormatan terakhir Allahyarhamah di Masjid Jamek Petra Jaya di sini, hari ini.
Tambah Rohani, meskipun Allahyarhamah merupakan anak kepada mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, keperibadiannya kekal sederhana, tidak gemar menonjolkan diri dan mudah didekati sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang.
Malah, katanya, kenangan terhadap Allahyarhamah akan terus segar khususnya dalam kalangan penduduk Sri Aman, apabila sebuah dewan di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Aing dinamakan sempena nama Allahyarhamah.
“Cuma sedih kerana arwah belum sempat melawat dewan itu. Namun saya percaya, nama dan jasa beliau akan terus dikenang oleh warga Sri Aman,” ujarnya.