KUCHING, 23 Jun: Kerajaan memperuntukkan RM50 juta tahun ini bagi pelaksanaan kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan di Sarawak yang akan dilaksanakan oleh Kontraktor Kecil Bumiputera G1 hingga G4 yang terpilih.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata peruntukan itu adalah sebahagian daripada dana pembangunan berjumlah RM400 juta yang diluluskan di bawah Belanjawan 2025 oleh Kementerian Kewangan, khusus untuk kerja penyenggaraan jalan berkala di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, RM50 juta diperuntukkan khusus untuk Sarawak. Ia melibatkan pelaksanaan 25 kerja penyenggaraan berkala pavemen dan 21 kerja bukan pavemen, yang akan dilaksanakan oleh kontraktor Bumiputera yang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Cabutan Undi Tawaran Pelaksanaan Kerja Penyenggaraan Jalan Persekutuan Inisiatif Bajet 2025 bagi Kontraktor Kecil Bumiputera G1-G4, di sini, hari ini.
Menurut Nanta, skop kerja penyenggaraan itu termasuk penurapan dan tampalan permukaan jalan, mengecat semula garisan jalan serta menaik taraf sistem perparitan.
Beliau turut menegaskan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, JKR daerah serta syarikat konsesi penyenggaraan DAL HCM Sdn Bhd akan menjalankan pemantauan rapi secara berkala bagi menilai prestasi serta kualiti kerja kontraktor yang terlibat.
“Pemantauan ini penting bagi memastikan hanya kontraktor yang benar-benar berprestasi dan menepati piawaian akan diberi keutamaan dalam pemberian kerja pada masa akan datang,” katanya. – TVS