JOHOR BAHRU, 23 Jun: Kegiatan seorang lelaki yang baharu berjinak-jinak menjadi ‘tokan dadah ‘ sejak enam bulan lalu berakhir apabila dicekup dalam serbuan polis di Mutiara Rini, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan bersama lebih 42 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM6.87 juta dalam operasi pada 14 Jun lalu.
Selain penahanan suspek kata beliau, dua wanita Vietnam berusia 34 dan 23 tahun yang dipercayai ‘bekerja’ sebagai pembantu suspek utama itu turut ditahan.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini bergerak aktif sejak awal tahun dengan menyewa dua rumah teres dua tingkat sebagai lokasi memproses, membungkus dan menyimpan dadah.
“Rumah pertama disewa atas nama suspek lelaki itu sejak April 2023 dan kita berjaya merampas 2,670 gram serbuk disyaki ekstasi dan 368 gram dadah disyaki ganja di rumah berkenaan.Â
“Salah seorang suspek kemudian membawa polis ke sebuah lagi rumah sewa yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ dan polis berjaya merampas 38,022 gram serbuk disyaki ekstasi dan 1,375 gram serbuk disyaki ketamin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sini hari ini.
Katanya, polis percaya premis itu dijadikan stor penyimpanan dadah dengan kesemua bahan terlarang yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,875,354 juta dan boleh digunakan oleh seramai 146,195 orang penagih.
Beliau memberitahu polis turut merampas pelbagai alatan memproses dan membungkus dadah, selain menyita dua kereta, wang tunai RM49,150, 2,580 Dollar Singapura serta pelbagai barang kemas dengan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan lebih RM7.14 juta.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, suspek mengenal pasti ‘pelanggan’ menerusi media sosial dan dadah akan dihantar oleh ahli-ahli sindiket kepada pembeli selain diletakkan di tempat tertentu untuk diambil sendiri oleh penagih.
Sementara itu beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif methamphetamin, ketamin dan benzodiazepines.
“Mereka direman sehingga Khamis ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. -TVS