KUCHING, 23 Jun: Sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis CN235-220M mengalami masalah ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), hari ini.
TUDM dalam kenyataan mengesahkan kejadian berlaku pada jam 11.15 pagi, apabila pesawat dari No. 1 Skuadron Pangkalan Udara Kuching itu berdepan masalah pada bahagian gear pendaratan hadapan.
Ketika kejadian, pesawat berkenaan sedang menyempurnakan tugasan penerbangan logistik dari Labuan dan Kota Kinabalu.
“Semua anak kapal dan penumpang dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” demikian menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, TUDM akan menubuhkan satu lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Gambar dan rakaman video insiden terbabit turut tular di media sosial, memaparkan pesawat berkenaan berhenti di landasan KIA. – TVS