BUKIT MERTAJAM, 23 Jun: Seorang pesara wanita syarikat swasta di sini kerugian lebih RM1.6 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian semalam.
Mangsa berusia 57 tahun dikatakan mula terjerat selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi aplikasi WhatsApp pada Mac lalu yang mendakwa dirinya dari Hong Kong.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, lelaki itu yang dijadikan adik angkat oleh mangsa selepas tiga minggu bekenalan telah menawarkannya menyertai satu pelaburan.
Katanya, wanita itu kemudiannya tertarik dengan pelaburan berkenaan yang menawarkan keuntungan sebanyak 10 peratus dalam tempoh singkat telah memuat turun aplikasi bernama FXCM untuk mendaftar dan memulakan pelaburan.
“Pada 18 Mac, mangsa membuat pelaburan awal sebanyak AS$2,000 (RM8,716) dan telah mendapat pulangan keuntungan sebanyak RM10,023.
“Akibat percayai dengan pelaburan itu, mangsa kemudiannya membuat 36 transaksi memasukkan wang ke dalam 20 akaun bank milik syarikat berbeza dalam tempoh 14 Mac hingga 14 Jun lalu sebanyak RM1,680,464,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, wanita itu akhirnya menyedari dia ditipu semasa cuba mengeluarkan keuntungan menerusi aplikasi itu, namun gagal berbuat demikian.
Katanya, mangsa juga telah diminta membuat bayaran tambahan bagi pengeluaran tersebut sebelum dia tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – TVS.