MIRI, 23 Jun: Penubuhan Ruang Daya Cipta (RDC) membuktikan bahawa teknologi kini bukan lagi bersifat eksklusif, sebaliknya boleh diakses dan dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah, orang kurang upaya (OKU) serta penduduk luar bandar dan ibu tunggal.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata pendekatan ini selari dengan prinsip “Daripada Masyarakat, Untuk Masyarakat” yang digariskan dalam Dasar Inovasi Sosial (DIS).
“Penubuhan RDC ini secara langsung menggerakkan pelaksanaan Dasar Inovasi Sosial (DIS) di peringkat lapangan.
“Inovasi kini tidak lagi terbatas dalam ruang makmal semata-mata, sebaliknya diwujudkan, dibangunkan dan dimanfaatkan oleh komuniti sendiri, sebagai penyelesaian sebenar kepada keperluan dan cabaran yang mereka hadapi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian RDC Miri di sini, hari ini.
Menurutnya, pendekatan pembangunan RDC perlu menekankan aspek tumpuan dan impak yang tinggi, bukan sekadar menambah bilangannya.
RDC wajar berperanan sebagai pusat kecemerlangan inovasi yang memberi penekanan kepada inovasi berasaskan keperluan sebenar masyarakat selain memperkukuh kualiti dan daya saing produk tempatan.
Tambahnya, pelaksanaan RDC berasaskan pendekatan Quintuple Helix yang melibatkan kerjasama erat antara kerajaan, industri, akademik, masyarakat dan alam sekitar.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkaya pendidikan dan latihan kemahiran, tetapi juga membuka peluang untuk menghasilkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran sosial di peringkat tempatan.
Sebagai dasar sektoral yang mendokong pelaksanaan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, Dasar Inovasi Sosial (DIS) memberi tumpuan kepada penerapan elemen Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam menangani cabaran sosial dan ekonomi semasa.
“Ia termasuk isu ketidaksamaan sosial, kadar pengangguran, serta jurang teknologi antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya. – TVS