KUCHING, 23 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kejayaan masa depan industri minyak dan gas negara memerlukan kerjasama erat dan persepakatan antara PETRONAS dan PETROS bukannya dominasi satu pihak.
Menurut beliau, kedua-dua entiti itu memainkan peranan penting yang saling melengkapi dan sudah tiba masa untuk pendekatan baharu yang lebih seimbang dan strategik diwujudkan demi kemajuan negara secara menyeluruh.
“Kemajuan kita dalam industri minyak dan gas memang memerlukan Petronas dan untuk Sarawak, perlukan Petros. Kalau kita terima kenyataan itu, kita perlu kedua-duanya untuk sepakat, untuk angkat martabat Sarawak dan negara,” katanya semasa berucap di Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2025 di sini, malam tadi.
Anwar menjelaskan, hubungan antara Petronas dan Petros harus bersifat ‘menang-menang’, di mana kedua-dua pihak bekerjasama untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber tenaga negara tanpa menjejaskan kepentingan negeri mahupun persekutuan.
Beliau turut memaklumkan bahawa rundingan berhubung perkara ini sememangnya mencabar, namun dibina atas asas saling menghormati dan prinsip keadilan untuk semua pihak.
“Saya tahu bahawa akhirnya rakan-rakan di Sarawak iaitu para menterinya dan Premier Sarawak sendiri menyedari bahawa kepentingan wilayah ini mesti dipertahankan dan dalam masa yang sama kepentingan negara juga harus dipelihara. Ini selari dengan semangat saya. Saya tidak mahu negara secara keseluruhannya berada dalam keadaan tertekan dan rugi,” ujarnya lanjut.
Beliau turut mengakui bahawa sudah tiba masanya syarikat minyak milik negeri, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), diberikan ruang yang sewajarnya untuk memainkan peranan dalam menentukan hala tuju serta pengurusan sumber tenaga di negeri itu.
Menurut Anwar, ramai anak Sarawak kini memiliki kepakaran tinggi dalam bidang petroleum hasil pendedahan di syarikat besar seperti Petronas dan Shell, dan sewajarnya diberi kepercayaan untuk menerajui industri tenaga di negeri sendiri.
“Jadi, kita harus menerima bahawa Malaysia dan Sarawak bukan lagi seperti pada tahun 70-an atau 80-an. Kini, kita telah sampai ke satu tahap di mana anak-anak muda mempunyai kelayakan dan pendedahan yang mencukupi, mereka merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk diberi ruang kepada Petros, khususnya dalam menentukan aliran dan pengagihan gas di Sarawak,” tegasnya. – TVS