KUCHING, 23 Jun: Pemergian isteri kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg iaitu Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat rakyat Sarawak.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, Allahyarhamah bukan sahaja disayangi oleh keluarga, malah amat dihormati oleh seluruh rakyat negeri ini kerana keperibadiannya yang luhur.
“Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga kepada rakyat Sarawak yang amat menyanjungi keperibadian beliau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada Premier Sarawak atas kehilangan isteri tercinta.
“Dengan penuh rasa dukacita, saya merakamkan ucapan takziah kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pemergian isteri tercinta Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tuanku Haji Bujang,” katanya.
Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun di Pusat Perubatan Normah, Kuching, pada jam 3.34 pagi tadi.
Majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Masjid Jamek, Petra Jaya, bermula jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, diikuti dengan solat jenazah.
Jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang selepas solat Zohor. — TVS