BINTULU, 23 Jun: Pemandu dan kelindan maut selepas dua lori bertembung di simpang Sungai Asap di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 8.34 pagi dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kemalangan melibatkan dua buah lori. Sebuah lori 3 tan (tiada muatan) dan sebuah lori 5 tan (membawa muatan batu). Kedua-dua kenderaan dipercayai bertembung.
“Dua mangsa iaitu pemandu dan kelindan kedua-duanya berusia 40 tahun tersepit di dalam lori 3 tan manakala pemandu lori 5 tan didapati tiada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba bertindak menggunakan jentolak bagi mengalihkan kedudukan lori yang terbalik sebelum berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya-TVS