PUTRAJAYA, 23 Jun: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluahkan rasa kesal di atas kesilapan sebuah syarikat media menerbitkan infografik mengandungi maklumat salah membabitkan Ketua Polis Negara baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dengan parti politik.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pihaknya akan meminta penjelasan daripada media tersebut dan akan melaksanakan siasatan lanjut.
“Kita akan melihat semua sudut (termasuk) undang-undang atau libat urus.
“Kalau perlu kami panggil untuk mendapatkan penjelasan dan menyampaikan kepada mereka kesan pelaporan tidak bertanggungjawab itu (telah) memberikan implikasi yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Saifuddin menambah, pelaporan tidak bertanggungjawab telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat selain boleh membawa implikasi besar dari segi keselamatan dan keharmonian negara.
“Ketika keadaan dalam perbezaan politik dan sentimen kebencian terus disemarakkan dengan isu seperti ini, ia seperti orang mengantuk disorongkan bantal dan diviralkan dengan api yang merebak pada musim kemarau,” ujarnya.
Tegas beliau, sebagai media yang sudah lama berkhidmat, pihak tersebut seharusnya memahami disiplin pelaporan dan menguhubungi pihak berkaitan untuk mendapatkan maklumat sahih.
“Kalau umpamanya kita mengambil tindakan keras, kerajaan (akan disifatkan) tidak menghormati kebebasan media,” katanya.
Pada Jumaat, sebuah infografik yang memaparkan latar belakang Mohd Khalid yang dikatakan pernah terlibat dengan UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) disiarkan dalam media sosial sebuah akhbar harian beberapa jam selepas perlantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara pada Jumaat.
Akhbar berkenaan bagaimanapun menarik balik kandungan berkenaan dan memohon maaf kepada Mohd Khalid namun tangkap layar hantaran berkenaan telah ditularkan di beberapa platform media sosial. -TVS.