MARANG, 23 Jun: Enam pengedar dadah berjaya ditahan dalam empat serbuan berasingan yang dilakukan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, sejak minggu lalu.
Ketua polis daerah, Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata, tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki pada 16 Jun di sebuah rumah kosong di Kampung Gunung Kasim, Merchang.
Menurutnya, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu didapati positif methamphetamine dan dua daripada mereka turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“Polis merampas pil kuda dengan berat keseluruhan 51.06 gram dan 1.08 gram syabu dengan nilai pasaran RM3,500 selain turut menyita sebuah motosikal Yamaha 125z dengan anggaran nilai RM10,000.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 17Â Jun,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mohd Sofian memberitahu, tangkapan kedua pada 17 Jun lalu melibatkan seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Alor Limbat, Bukit Payung.
Katanya suspek tersebut juga positif methamphetamine dan polis merampas pil kuda seberat 57.1 gram dengan nilai anggaran pasaran RM3,500 manakala sebuah motosikal jenama Honda Wave bernilai RM10,000 turut disita.
Tambah beliau, tangkapan ketika pada 21 Jun lalu di Kampung Batangan pula melibatkan seorang lelaki berusia 34 tahun.
“Suspek positif methamphetamine dan nilai rampasan dadah seberat 219,36 gram dengan anggaran pasaran RM8,000,” katanya.
Tangkapan terbaharu pagi semalam kata beliau menyaksikan seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan selain polis turut merampas pil kuda dan heroin yang dianggarkan bernilai RM1,400.
“Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan rampasan keseluruhan sebanyak RM16,400 manakala sitaan sebanyak RM23,000,” katanya. -TVS