KUCHING, 23 Jun: Kehadiran dua penilai lantikan UNESCO ke Sarawak hari ini menandakan detik penentu dalam usaha Sarawak Delta Aspiring Geopark untuk meraih pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark pertama.
Ketibaan Jean-Simon Pagés dari Perancis dan Antonio Garcia Jiménez dari Sepanyol sekitar 3 petang disambut oleh Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datuk Hamden Mohammad bersama-sama pasukan Sarawak Delta Aspiring UNESCO Global Geopark (SDaUGGp) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
SDaUGGp berkata, kedua-dua penilai berpengalaman luas dalam penilaian dan pengurusan geopark tersebut akan melawat beberapa tapak penting yang menonjolkan kepelbagaian geologi, biologi dan budaya Delta Sarawak selama empat hari bermula hari ini hingga 26 Jun.
“Antara lokasi yang akan dilawati termasuklah Tapak Warisan Geologi: Schist Tuang Semeba dan Paku Rock Maze di Bau; Tapak Warisan Geologi dan Biologi: Hutan Simpan Gua Angin, Bau; Tapak Warisan Biologi: Hutan Simpan Semenggoh, Padawan; serta Tapak Warisan Budaya: Muzium Budaya Borneo di Kuching dan Kampung Budaya Sarawak di Santubong.
“Turut tersenarai ialah Kampung Geopark: Kampung Peros di Krokong, Bau; Sekolah Geopark: SMK Paku, Bau; serta beberapa lagi lokasi utama di seluruh kawasan geopark yang dicalonkan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, penilaian ini membuka peluang besar untuk menyerlahkan komitmen Sarawak dengan pembangunan lestari, pemuliharaan geologi, pendidikan dan pemerkasaan komuniti melalui inisiatif geopark,” jelasnya.
Tambahnya, SDaUGGp merupakan wilayah yang unik, menampilkan kepelbagaian geologi dan landskap menakjubkan, menjadikan ia mempunyai identiti tersendiri.
“Dengan keluasan 3,112 kilometer persegi, kawasan ini didiami pelbagai suku kaum bumiputera yang bukan sahaja mengekalkan kelangsungan hidup mereka, malah turut memelihara serta menyuburkan budaya serta tradisi masing-masing yang berkait rapat dengan sumber alam semula jadi setempat,” ujarnya.
Katanya lagi, sejarah geologi rantau ini mencerminkan perubahan besar pada permukaan bumi akibat aktiviti tektonik kira-kira 250 juta tahun lalu, yang bukan sahaja terhad kepada Asia Tenggara, malah turut menggambarkan fenomena geologi yang merentasi Eropah dan Asia. -TVS