GEORGE TOWN, 23 Jun: Dua lelaki diberkas polis selepas bertindak agresif menumbuk pipi dan menggigit dada seorang anggota polis di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu berlaku semasa anggota lelaki berusia 30 tahun itu menahan kedua-dua lelaki warga tempatan itu yang dilihat mencurigakan di hadapan pintu masuk IPK.
Katanya, anggota yang bertugas di pos pengawal berkenaan telah menjalankan pemeriksaan terhadap mereka dan mendapati suspek berusia 19 dan 20 tahun itu disyaki sedang mabuk.
“Semasa dibawa masuk ke dalam pos pengawal untuk pemeriksaan lanjut, suspek bertindak agresif apabila menumbuk pipi dan menggigit dada anggota itu sehingga mengalami kecederaan bengkak pada mata kiri dan lebam pada dada.
“Selain itu, suspek juga ada mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ujar Abdul Rozak, kedua-dua suspek telah ditangkap dan direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Rabu depan bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. – TVS