KUCHING, 23 Jun: Daniel Kueh, 16, yang pernah disahkan menghidap Leukemia Limfoblastik Akut Sel-T ketika berusia 14 tahun, menjadi antara peserta terawal mencukur kepala dalam kempen GoBald 2025 anjuran Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS).
Remaja itu menyertai sesi cukur kepala bersama lima ahli keluarganya yang terdiri daripada ibu bapa, abang, ibu saudara dan nenek saudara, sebagai simbol sokongan terhadap kanak-kanak yang sedang bertarung dengan penyakit kanser.
“Ketika saya menghidap kanser, SCCS membantu menaja sebahagian kos rawatan saya melalui GoBald. Bantuan itu amat bermakna.
“Kini, saya mahu turut serta agar kanak-kanak lain boleh teruskan rawatan dan kemoterapi mereka,” kata Daniel dalam kenyataan SCCS pada Ahad.
Pada 2024, SCCS menyalurkan lebih RM130,000 untuk membiayai pemindahan sel stem dan ujian makmal Daniel di Hospital Umum Sarawak dan Hospital Ampang iaitu sebahagian daripada lebih RM762,000 bantuan perubatan yang diberikan untuk tahun itu sahaja.
Edisi ke-17 GoBald yang berlangsung sepanjang Jun 2025 berjaya mengumpul lebih RM450,000 daripada lebih 1,500 penyumbang di seluruh negara.
Sekurang-kurangnya 164 peserta tampil mencukur kepala termasuk dari Sarawak dan luar.
Di Kuching sahaja, lebih RM325,000 berjaya dikumpul, dengan 95 peserta mencukur kepala di AEON Mall Kuching Central atau di salon rakan kongsi terlibat.
Tahun ini, kempen GoBald turut berlangsung bersempena Bulan Pesakit Kanser yang Selamat.
Presiden SCCS, Mary Kiu berkata kos rawatan yang semakin meningkat menuntut sokongan berterusan orang ramai. Beliau mendedahkan bahawa hampir RM500,000 dibelanjakan tahun ini untuk rawatan seorang pesakit sahaja.
“Tema tahun ini, Leave Your Mark, membawa maksud besar, sama ada anda mencukur kepala, menderma, menjadi sukarelawan atau hadir memberi sokongan, semuanya memberi kesan,” katanya.
Sejak dilancarkan pada 2009, GoBald berjaya meraih lebih RM13 juta hasil sumbangan lebih 11,000 peserta seluruh negara.
Kempen ini menyumbang 20 hingga 30 peratus daripada perbelanjaan tahunan SCCS yang melebihi RM2 juta. -TVS