JAKARTA, 23 Jun: Business Events Sarawak (BESarawak) kembali mengukuhkan kehadirannya di pasaran Indonesia menerusi penganjuran Sesi Kemaskini Produk MICE Sarawak dan Jaringan Usahasama yang berlangsung di Hotel JW Marriott di sini, hari ini.
Program anjuran BESarawak dengan sokongan Tourism Malaysia Jakarta itu menjadi platform strategik untuk mempromosi dan mengemas kini produk berkaitan pelancongan perniagaan serta acara berskala besar di Sarawak khususnya dalam segmen Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE).
Pengurus Pembangunan Perniagaan BESarawak, Adrian Goh berkata Indonesia kekal sebagai antara pasaran utama bagi sektor pelancongan MICE dan mempunyai potensi besar untuk terus diterokai.
“Program ini bertujuan memperkenalkan semula acara perniagaan MICE yang berteraskan impak positif di Sarawak, sejajar dengan kedudukan Indonesia sebagai antara pasaran penting bagi Sarawak,” katanya ketika ditemui pada program itu.
Menurutnya, lebih 60 ejen pelancongan dan penganjur acara dari seluruh Indonesia hadir bagi menjalin jaringan strategik serta meneroka kerjasama dua hala menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Jelasnya lagi, inisiatif itu juga merupakan sebahagian usaha BESarawak untuk memposisikan Sarawak sebagai hab acara perniagaan yang berimpak tinggi serta kaya dengan nilai warisan budaya.
Pada masa sama, ia turut menyokong strategi pelancongan nasional dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama MICE di rantau ini, selain membantu mengekalkan laluan penerbangan terus dari Indonesia ke Sarawak.