KOTA KINABALU, 23 Jun: Sebuah ambulans milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terbabas lalu terbalik dalam kejadian di Bulatan Melawa, Jalan Salut Commercial Centre, Sepanggar di sini, awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kejadian dilaporkan pada jam 1.55 pagi dan melibatkan tiga petugas KKM iaitu seorang doktor, jururawat dan pemandu ambulans.
“Setibanya di lokasi, pasukan kami mendapati sebuah ambulans telah terbalik. Tiga mangsa terlibat dengan dua cedera ringan manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata Komander Operasi, PBK II Welson Juanis.
Katanya, anggota bomba dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dua yang cedera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan jentera EMRS.
Operasi ditamatkan pada jam 2.37 pagi selepas tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian. – TVS