KUCHING, 23 Jun: Affin Bank Berhad terus memperkukuhkan komitmen di Sarawak sebagai peneraju inovasi kewangan di Malaysia dengan pembukaan satu lagi cawangan baharu di Jalan Satok di sini, hari ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan pembukaan cawangan baharu Affin itu berperanan penting dalam ekonomi dan kepelbagaian di Sarawak dengan menyelaraskan sokongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Sarawak sedang melakarkan hala tuju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030, dipacu oleh sektor strategik seperti hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, pelancongan, pertanian moden dan pembuatan berasaskan sumber.
“Ini adalah sektor yang memerlukan pelaburan yang besar, pembiayaan yang inovatif dan pemahaman mendalam tentang dinamik serantau kami yang unik,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar pada Majlis Perasmian Pembukaan Cawangan Baharu Affin Bank Jalan Satok.
Menurutnya, Affin dengan jejak inklusif dan kepakaran khususnya, mempunyai kedudukan yang unik untuk memainkan peranan penting dalam transformasi ini.
“Dengan memperluaskan pembiayaan, memudahkan pelaburan dan menyediakan penyelesaian kewangan yang canggih kepada pemain utama dalam sektor strategik ini, anda (Affin) boleh mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Sarawak,” katanya.
Beliau turut optimis Affin mempunyai potensi untuk mengatasi kedudukan semasanya dengan visi yang jelas untuk menjadi syarikat kewangan yang paling kreatif dan inovatif sekaligus menjadi bank pilihan utama di Malaysia.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali menyifatkan kawasan Satok merupakan salah satu kawasan yang strategik dan menjadi tumpuan masyarakat sekitar Kuching.
Katanya, dengan adanya pembukaan cawangan ini mencerminkan komitmen Affin yang tidak berbelah bahagi untuk meningkatkan kebolehcapaian dan menyediakan perkhidmatan perbankan yang unggul kepada masyarakat setempat.
“Pencapaian ini mencerminkan kekuatan perjalanan transformasi kami, daya tahan strategi kami dan dedikasi kakitangan kami.
“Mereka (kakitangan) juga menekankan momentum mantap yang kami bina di bawah pelan Afin AX28, berteraskan perkhidmatan pelanggan yang tiada tandingan, kepimpinan digital dan perbankan yang bertanggungjawab dengan impak,” katanya.
Jelas Wan Razly lagi, Affin tetap komited untuk berkembang bersama Sarawak, mewujudkan impak yang bermakna dan menyampaikan nilai berkekalan kepada komuniti.
Ini merupakan cawangan keempat Affin Bank di Kuching dan cawangan kesembilan Affin Bank di Sarawak yang dibuka pada 21 Mei 2025. – TVS