KUCHING, 22 Jun: TV Sarawak (TVS) terus komited memperkukuhkan peranannya sebagai penyiar rasmi dalam memperkasa warisan muzik dan budaya Sarawak ke peringkat antarabangsa khususnya Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF).
Ketua Kandungan Kreatif TVS, Jamal Abdullah berkata, kerjasama berterusan bersama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bukan sekadar sokongan media malah menjadi platform strategik untuk memperkenalkan industri muzik tempatan dan kepelbagaian budaya dunia.
“Setiap tahun, penglibatan kami dipertingkatkan. Ia peluang besar untuk menonjolkan muzik berunsur budaya dari Sarawak.
“RWMF adalah ruang unik yang mana artis seluruh dunia berkumpul dalam suasana tropika yang mencerminkan identiti Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, RWMF menjadi jambatan hubungan erat bukan sahaja antara penonton dan pemuzik malah dengan penaja serta pelbagai pihak terlibat.
Sebagai saluran milik Kerajaan Sarawak, TVS mengambil serius peranan mempromosi pembangunan wilayah ini melalui medium penyiaran.
“Siaran langsung dan liputan khas seperti RWMF bukan sahaja menyemarakkan minat dalam kalangan rakyat Malaysia, malah memperkenalkan Sarawak kepada penonton antarabangsa,” ujar Jamal.
Menurutnya, promosi melalui penyiaran membuka peluang luas kepada sektor pelancongan iaitu salah satu industri penting bagi penjanaan ekonomi rakyat.
“Penyiaran acara seperti RWMF juga membantu mengetengahkan bakat anak Sarawak ke peringkat global selain berpotensi dijemput menyertai festival luar negara seperti di Jerman dan Indonesia,” jelasnya.-TVS