KUCHING, 22 Jun: TV Sarawak (TVS) mengambil pendekatan berbeza dalam inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 dengan menjemput Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak (SSB) untuk mengendalikan sesi urutan amal di lokasi acara.
Eksekutif Kanan Perhubungan Awam dan Promosi TVS, Amiza Morshidi berkata, sesi urutan refleksologi atau foot massage dikenakan caj RM30 bagi setiap sesi berdurasi 30 minit dan kesemua kutipan disalurkan terus kepada SSB.
“Tahun ini kami tampilkan Persatuan Orang Buta Sarawak untuk menjalankan sesi urutan amal. Semua kutipan diberikan terus kepada SSB tanpa sebarang keuntungan oleh TVS,” katanya.
Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan memberi ruang kepada komuniti kurang upaya untuk menjana pendapatan berdasarkan kemahiran mereka selain memupuk kesedaran masyarakat mengenai potensi golongan OKU.
Wakil SSB, Steven Liew Pit Chin menyifatkan penyertaan mereka dalam RWMF 2025 sebagai pengalaman berharga dengan sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
“Kami berada di sini selama tiga hari dan permintaan amat tinggi. Hanya sempat berehat sebentar untuk minum dan ke tandas. Waktu petang barulah sempat makan,” ujarnya.
Tambah Steven, perkhidmatan yang ditawarkan merangkumi urutan kaki, bahu dan leher dengan semuanya dikendalikan ahli SSB yang terlatih dan berpengalaman.-TVS