SARATOK, 22 Jun: Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak amat penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hubungan baik antara kedua-dua kerajaan bukan sekadar kepentingan politik tetapi berlandaskan komitmen untuk menyelesaikan pelbagai isu demi manfaat rakyat.
“Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Walau seberat mana pun, kita akan cuba yang terbaik demi rakyat,” katanya semasa Majlis Pecah Tanah Projek Jalan dari Kampung Kupang ke Simpang Jalan Bajau di Rumah Panjang Rengan, Selambong, hari ini.
Menurut Zahid, hubungan peribadi yang erat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membuka lebih banyak ruang penyelesaian bagi isu-isu berbangkit.
“Sebagai contoh, isu antara PETRONAS dan PETROS dapat ditangani dengan baik melalui hubungan ini. Tiada keperluan untuk kita bimbang secara berlebihan,” ujarnya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Dalam pada itu, Zahid turut mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih yang disebarkan di media sosial khususnya yang berniat memburukkan imej kerajaan.
“Akan sentiasa ada pihak yang tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan, namun kita harus terus fokus kepada agenda pembangunan rakyat,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang atas peranan beliau dalam memperkukuh jalinan kerjasama antara Persekutuan dan Sarawak.-TVS