Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gelombang kecaman menyusuli serangan udara terbaharu Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan nuklear Iran, dengan kuasa-kuasa dunia dan negara serantau memberi amaran tentang risiko konflik semakin meluas serta menggesa segera kembali ke meja rundingan. Foto fail AFP

Serangan bom AS ke atas tapak nuklear Iran cetus kecaman seluruh dunia

ByBernama

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Gelombang kecaman menyusuli serangan udara terbaharu Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan nuklear Iran, dengan kuasa-kuasa dunia dan negara serantau memberi amaran tentang risiko konflik semakin meluas serta menggesa segera kembali ke meja rundingan.

Menurut Anadolu Ajansi (AA), China mengutuk keras tindakan AS yang menyasarkan tapak nuklear Iran yang dilindungi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Dalam kenyataan rasmi, Kementerian Luar China berkata serangan itu “secara serius melanggar tujuan dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)” serta memburukkan lagi ketegangan di Timur Tengah. Beijing menyeru semua pihak mengutamakan dialog dan menahan diri.

Arab Saudi menyuarakan kebimbangan dan menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran kedaulatan Iran. Kementerian Luar negara itu menggesa semua pihak berusaha mengendurkan ketegangan dan menggesa  masyarakat antarabangsa menggiatkan usaha ke arah penyelesaian politik.

Oman menyifatkan serangan itu sebagai “pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)”. Kementerian Luar Oman menegaskan hak Iran membangunkan tenaga nuklear secara aman di bawah pemantauan antarabangsa dan memberi amaran bahawa ketegangan berterusan boleh meluaskan konflik.

Presiden Lubnan Joseph Aoun berkata serangan itu berisiko mencetuskan ketegangan yang boleh menggugat kestabilan seluruh rantau. Beliau menggesa semua pihak menahan diri dan memulakan rundingan serius sambil menegaskan Lubnan tidak mahu menanggung akibat konflik selanjutnya.

Iraq mengutuk serangan AS itu sebagai tindakan yang meningkatkan ketegangan dan “melampaui sempadan mana-mana negara”. Jurucakap kerajaan Basim al-Awadi memberi amaran bahawa penyelesaian ketenteraan hanya akan membawa kemusnahan dan ketidakstabilan.

Qatar menyuarakan kebimbangan dan memberi amaran bahawa ketegangan lanjut boleh membawa “akibat buruk” kepada rantau itu. Negara itu menggesa penghentian segera permusuhan dan menyeru usaha diplomasi diperbaharui.

Mesir memberi amaran tentang akibat serius susulan peningkatan ini dan menggesa penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa serta penyelesaian aman terhadap krisis.

Pemimpin Amerika Latin dari Chile, Cuba, Venezuela, Colombia dan Bolivia turut mengecam serangan udara AS ke atas kemudahan nuklear Iran sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan ancaman terhadap kestabilan global.

Pakistan mengutuk serangan itu sebagai pelanggaran norma antarabangsa dan menegaskan hak Iran untuk mempertahankan diri di bawah Piagam PBB. Islamabad menyuarakan kebimbangan terhadap situasi yang semakin buruk dan menggesa semua pihak menahan diri.

Perancis menyuarakan kebimbangan terhadap serangan AS itu, dengan Menteri Luar Jean-Noel Barrot menegaskan Paris tidak terlibat dalam operasi berkenaan. Beliau menggesa semua pihak mengelakkan peluasan konflik dan mengutamakan penyelesaian diplomatik.

Bahrain melaksanakan pembelajaran dalam talian dan kerja daripada rumah susulan ketegangan yang meningkat, dan menasihatkan rakyatnya mengelakkan perjalanan yang tidak perlu atas faktor keselamatan awam.

Presiden Majlis Eropah Antonio Costa menggesa semua pihak menahan diri dan mematuhi undang-undang antarabangsa, sambil menegaskan bahawa diplomasi adalah satu-satunya jalan menuju keamanan. Beliau memberi amaran tentang tindakan yang boleh membahayakan keselamatan nuklear.

Switzerland menyeru agar pihak terbabit segera kembali ke meja rundingan dan menghormati sepenuhnya Piagam PBB. Kementerian Luar Switzerland berkata konflik yang semakin memuncak ini menjadi ancaman serius kepada nyawa orang awam dan infrastruktur.

Timbalan Perdana Menteri Ireland Simon Harris memberi amaran bahawa risiko konflik lebih besar antara Iran dan Israel kini “lebih nyata berbanding sebelum ini”.

Beliau menekankan keperluan untuk menamatkan ketegangan dan memberi perhatian terhadap keselamatan anggota pengaman Ireland di Lubnan.

Canselor Jerman Friedrich Merz menyeru Iran segera memulakan rundingan dengan AS dan Israel bagi mengelakkan pertumpahan darah lebih buruk. Beliau menggesa penyelesaian diplomatik bagi mencegah konflik lebih besar.

Perdana Menteri India Narendra Modi berbincang dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian dan menggesa penamatan segera ketegangan. Modi menegaskan bahawa diplomasi kekal satu-satunya jalan ke arah keamanan dan kestabilan rantau ini.

Turkiye menyatakan kebimbangan terhadap kesan serangan AS ke atas kemudahan nuklear Iran. Kementerian Luar negara itu menekankan bahawa keamanan harus dicapai melalui dialog, bukan konfrontasi bersenjata. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan