MIRI, 22 Jun: Semangat muafakat dan toleransi tinggi dalam kalangan penduduk pelbagai kaum di Kampung Muhibbah menjadi pemacu utama pembangunan pesat kawasan tersebut.
Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kerjasama erat komuniti setempat mempercepat transformasi Kampung Muhibbah daripada kawasan setinggan kepada penempatan baharu yang lengkap dengan pelbagai kemudahan asas.
“Kampung ini kini dilengkapi bekalan elektrik, air bersih dan jalan berturap hasil usaha bersama penduduk dan sokongan kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Ngiling Bidai di Balai Raya Kampung Muhibbah, Kuala Baram, hari ini.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan khas untuk pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan penduduk.
“Antara projek terdekat termasuk pembinaan taman mini, ruang riadah dan tembok keselamatan bagi menjamin keselamatan penduduk khususnya kanak-kanak,” ujarnya.
Menurutnya, kejayaan pembangunan kampung tersebut bukan semata-mata hasil dana kerajaan sebaliknya didorong oleh semangat perpaduan penduduk yang bekerjasama tanpa mengira kaum dan agama.
“Saya menyeru agar semangat ini terus dikekalkan dan penduduk sentiasa menyokong usaha kerajaan demi kemajuan kampung dan masa depan generasi muda,” jelasnya.-TVS