Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Jurulatih Hoki Lelaki Kebangsaan Sarjit Singh ketika memberi arahan kepada pemain kendaliannya selepas tewas kepada pasukan New Zealand pada perlawanan peringkat kumpulan B Kejohanan FIH Hoki Piala Negara-Negara 2024-25 di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil. Foto fail Bernama

Sarjit sedia lepas jawatan jika gagal bawa Speedy Tigers ke Piala Dunia

ByBernama

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh sedia mengambil tanggungjawab penuh termasuk melepaskan jawatannya sekiranya gagal membawa pasukan Malaysia layak ke Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung pada Ogos tahun hadapan.

Sarjit mengakui prestasi pasukannya ketika ini masih perlu melalui proses untuk membentuk skuad yang mantap dan kompetitif.

“Saya memerlukan masa dua tahun, jika saya tidak dapat melakukan tugas itu, kita tidak layak ke Piala Dunia, saya akan meletakkan jawatan. Anda tidak perlu salahkan pemain, saya akan bertanggungjawab sebagai jurulatih.

“Jadi, berilah kami masa dan sokongan. Pemain masih muda, beri kepercayaan kepada mereka, diharapkan kami mampu mencatat prestasi lebih baik,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, di sini semalam.

Malaysia menamatkan kempen Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2025 di tempat keenam selepas tewas 1-2 kepada Wales.

Sarjit berkata barisan pemain muda negara kini mula menunjukkan kemajuan dalam aspek komunikasi apabila semakin berani bersuara berbanding lebih senyap dan pasif ketika sesi mesyuarat.

Menurut beliau, pemain perlu lebih terbuka untuk berbincang secara berpasukan dan belajar menutup kesilapan rakan sepasukan ketika di atas padang.

“(Misalnya), saya lakukan kesilapan, jadi bagaimana pemain lain menutup kesilapan ini? Mereka tidak boleh mengharapkan saya seorang untuk menyelesaikan masalah,” katanya.

Sarjit turut berpendapat pasukannya perlu menyertai lebih banyak kejohanan kompetitif kerana tekanan dan situasi dihadapi jauh berbeza berbanding perlawanan persahabatan untuk membina keyakinan, ketahanan mental dan kematangan pemain.

Sementara itu, kapten pasukan Marhan Mohd Jalil berkata beliau bersama pemain senior lain akan terus membimbing pemain muda agar proses adaptasi berlaku dengan lebih pantas untuk tampil lebih konsisten di pentas antarabangsa.

Untuk rekod, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ketujuh pada edisi sebelum ini yang berlangsung di Poland.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan