KOTA SAMARAHAN, 22 Jun: Samarahan Bike Challenge (SBC) 2025 dilihat sebagai platform penting dalam melonjakkan prestasi atlet sukan berbasikal Sarawak ke peringkat lebih tinggi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran SBC bukan sahaja membuka ruang kepada kemunculan bakat baharu malah menjadi medan latihan kompetitif bagi atlet sedia ada.
“Jika diberikan latihan teratur, sistematik dan kemudahan yang kondusif, saya yakin atlet berbasikal Sarawak mampu mencipta kejayaan bukan hanya di peringkat kebangsaan malah antarabangsa,” katanya pada Majlis Penutupan SBC 2025 di Summer Mall, Kota Samarahan, hari ini.
Beliau berkata, kejayaan membanggakan pasukan Sarawak pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2025 di Johor dengan meraih empat pingat emas, perak dan gangsa menjadikan keseluruhan 14 pingat merupakan pencapaian terbaik setakat ini dalam acara velodrom.
“Kejayaan ini membuktikan Sarawak mampu menjadi pencabar utama walaupun belum memiliki velodrom sendiri,” ujarnya.
Sehubungan itu, Karim menjelaskan, komitmen Kerajaan Sarawak untuk mempercepatkan pembinaan velodrom di Sarawak dalam tempoh tiga tahun sebagai langkah memperkukuh pembangunan sukan tersebut.
Samarahan Bike Challenge yang mula diperkenalkan pada 2013 menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM23,900 pada edisi kali ini.
Ia dianjurkan bersama Pejabat Daerah Samarahan dan Persatuan Berbasikal Sarawak dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Summer Mall.-TVS