LAWAS, 22 Jun: Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak (SABERKAS) menjadi landasan terbaik dalam melahirkan modal insan dan belia Sarawak yang aktif dan cemerlang.
Setiausaha Agung SABERKAS Negeri, Safiee Ahmad berkata golongan belia Sarawak perlu memanfaatkan pelbagai program yang diadakan mencakupi bidang sukan, kepimpinan dan kemasyarakatan yang berkualiti dalam SABERKAS.
“Ahli SABERKAS pada masa ini mempunyai sekitar 56,000 orang ahli di seluruh Sarawak kita juga mempunyai 82 cawangan seluruh pelosok negeri Sarawak.
“Saya percaya sekiranya belia-belia kita manfaatkan platform yang telah SABERKAS sediakan bukan saja dalam bidang sukan tetapi bidang-bidang lain seperti kebajikan, keilmuan dan sebagainya saya percaya seperti mana yang terbukti sebelum ini SABERKAS boleh menjadi salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang boleh membantu kerajaan untuk melahirkan generasi pelapis pimpinan akan datang,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Sepak Takraw Veteran anjuran Saberkas Cawangan Ba’kelalan di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerja SABERKAS Sarawak Iszuan Haroni, Exco SABERKAS Sarawak Steve Lius, Awangku Bahar Pengiran Jini, Pengerusi SABERKAS Cawangan Ba’kelalan Kaunselor Bidin Untong dan Pengerusi SABERKAS Cawangan Bukit Sari Kaunselor Abu Bahrin Reduan.
Safiee berkata, SABERKAS Sarawak tidak menghadkan acara sukan yang ingin dianjurkan oleh setiap cawangan. mereka boleh mengadakan berbagai acara sukan popular dan tradisional yang akhirnya menyumbang kepada kebaikan ahli-ahli SABERKAS disetiap cawangan berkenaan.
“Banyak juga acara sukan Karnival Sukan Saberkas (KASUS) kita laksanakan daripada sepak takraw, futsal, kita ada bola tampar, bola jaring dan sukan-sukan tradisional yang popular di sesuatu kawasan kita.
“Kita tidak menghadkan contohnya kalau di situ sukan rakyatnya popular seperti menyumpit, kita juga laksanakan, kalau tarik kalat(tali) pun juga satu acara yang diminati kita juga tiada masalah untuk mereka melaksanakan berdasarkan kesesuaian,” katanya lagi.
Pertandingan Sepak Takraw Veteran anjuran SABERKAS Ba’kelalan ini melibatkan penyertaan 24 pasukan daripada Bintulu, Limbang, Lawas, Sabah dan negara Brunei.
Majlis perasmian dimulakan dengan tarian zumba diikuti dengan perasmian dan lawatan Safiee ke Pasar Tamu Lawas untuk melihat lebih dekat potensi Lawas dalam berbagai aspek pembangunan di daerah paling Utara di Sarawak. – TVS.