Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Ewon Benedick ketika merasmikan Mini Karnival Tekun MADANI Tamu Desa Inobong sambil menyampaikan sumbangan kepada usahawan tempatan. Foto KUSKOP

RM7.5 juta disalur kepada usahawan mikro Sabah

PENAMPANG, 22 Jun – Seramai 1,809 usahawan mikro di Sabah menerima manfaat daripada Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) dengan jumlah pembiayaan keseluruhan sebanyak RM7.5 juta sejak pelancarannya pada tahun 2023.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, skim tersebut menyasarkan penjaja dan peniaga kecil yang aktif berniaga di pasar serta tamu seluruh negeri.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen TEKUN Nasional dalam memperkasa ekonomi rakyat khususnya di kawasan luar bandar,” katanya ketika merasmikan Mini Karnival TEKUN MADANI Tamu Desa Inobong, hari ini.

Sejak penubuhan TEKUN Nasional pada tahun 1998, sebanyak RM10.31 bilion disalurkan kepada 598,969 usahawan di seluruh negara setakat April 2025.

Daripada jumlah itu, RM1.18 bilion membabitkan 65,939 usahawan adalah dari Sabah.

“Bagi kawasan Parlimen Penampang, RM36 juta disalurkan kepada 1,730 usahawan termasuk RM634,000 kepada 36 usahawan antara Januari hingga April tahun ini,” ujar Ewon

Ewon berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 1,663 pembiayaan bernilai RM29.9 juta diluluskan di seluruh Sabah.

“Pembiayaan ini bukan sahaja membantu mengembangkan perniagaan malah turut mewujudkan peluang pekerjaan di peringkat komuniti,” jelasnya.

Ewon turut memuji keberkesanan Karnival TEKUN MADANI sebagai platform pembangunan keusahawanan di peringkat akar umbi.

“Lima siri karnival telah dianjurkan sepanjang 2024 di Sabah, Selangor dan Pulau Pinang, menjana jualan RM5.8 juta hasil penglibatan aktif usahawan tempatan,” tambahnya.

Kerjasama strategik bersama TikTok Shop Malaysia turut dikenal pasti sebagai pemangkin kejayaan khususnya dalam membuka peluang pemasaran digital kepada usahawan.

Bagi tahun ini, karnival pertama diadakan di Dewan Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud sempena Pesta Kaamatan 2025 dari 15 hingga 17 Mei menyaksikan penyertaan 142 usahawan dengan jualan terkumpul RM152,000.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan