KUALA LUMPUR, 22 Jun: Pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai merupakan satu reformasi signifikan dalam usaha kerajaan memperkasa kecekapan tenaga dan penggunaan tenaga boleh baharu di negara ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pembaharuan itu bakal memberi manfaat terus kepada 85 peratus pengguna elektrik dan pemilik akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB), sama ada melalui kadar tarif yang dikekalkan atau pengurangan bil bulanan.
Jelas beliau, insentif itu khusus bagi penggunaan 1,000 kiloWatt jam (kWj) dan ke bawah.
“Selain itu, pengenalan perkara penting iaitu masa penggunaan bagi menggalakkan rakyat untuk mencari masa sesuai untuk menggunakan aplikasi-aplikasi di rumah seperti mesin basuh yang mungkin memakan banyak tenaga pada waktu-waktu tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Program Karnival Kita Madani 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Di IWK Eco Park @ Pantai Dalam, hari ini.
Tambah Fahmi, pembaharuan itu selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) menjelang 2050 bagi meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan penghasilan dan pelepasan karbon secara keseluruhan.
“Ini adalah antara reformasi besar yang sedang diusahakan termasuk oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Suruhanjaya Tenaga dan TNB,” ujarnya.
Pada Jumaat, Suruhanjaya Tenaga memaklumkan pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu akan memberi manfaat yang lebih adil dan progresif kepada 23.6 juta pengguna domestik
Majoriti pengguna juga tidak terkesan malam berpeluang menikmati penjimatan lebih tinggi menerusi Insentif Cekap Tenaga sekiranya mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap. – TVS