KUCHING, 22 Jun: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi malam ini menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Majlis penuh warna-warni itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Bertemakan Segulai Sejalai, majlis tersebut merupakan acara kemuncak bagi rangkaian sambutan Gawai Dayak peringkat negeri tahun ini yang menghimpunkan tetamu daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
Ketibaan tetamu kenamaan disambut dengan persembahan kebudayaan masyarakat Dayak termasuk tarian tradisional, alunan gong dan muzik etnik yang menyemarakkan suasana perayaan.
Bagi tahun ini, komuniti Orang Ulu diberi penghormatan sebagai tuan rumah sambutan sekali gus menonjolkan keunikan budaya mereka kepada khalayak termasuk pelancong asing yang turut hadir.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.-TVS