KUCHING, 22 Jun: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 mencatat sejarah apabila kumpulan ternama dari Amerika Syarikat, Earth, Wind & Fire Experience by Al McKay membuat penampilan sulung mereka di Sarawak.
Sebagai persembahan utama malam kedua festival, kumpulan tersebut memulakan konsert mereka dengan lagu Serpentine Fire pada jam 10:38 malam di pentas utama Kampung Budaya Sarawak.
Lagu-lagu hits seperti September, Boogie Wonderland, Let’s Groove dan Fantasy turut menghangatkan suasana disambut sorakan dan tarian peminat dari pelbagai peringkat umur dan negara yang tidak melepaskan peluang berhibur bersama.
Vokalis kumpulan itu, Timothy Tyrone Owens menyifatkan pengalaman di RWMF sebagai sesuatu yang istimewa.
“Satu hubungan baharu tercipta merentasi dunia. Saya benar-benar rasa seperti berada di rumah,” katanya.
Timothy turut memberi bayangan bakal kembali ke Kuching pada masa akan datang.
Untuk makluman, Earth, Wind & Fire Experience ditubuhkan pada tahun 2001 oleh Al McKay, bekas gitaris utama dan komposer asal kumpulan legenda Earth, Wind & Fire.
Kumpulan tersebut kini dianggotai oleh 13 pemuzik profesional. – TVS