KUCHING, 23 Jun: Pasukan PBB Cawangan N4 Pantai Damai dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Petanque Klasik 2.0 DUN N4 Pantai Damai 2025 yang berlangsung meriah di Gelanggang Petanque Kampung Santubong.
Pertandingan kategori petanque triple melibatkan penyertaan daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta barisan Exco Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan kesukanan dalam komuniti setempat.
Pasukan PBB Cawangan N4 Pantai Damai berjaya menewaskan Team JAKSA dari Zon Santubong dalam perlawanan akhir yang sengit sekali gus membawa pulang kejuaraan edisi kali ini.
Sementara itu, tempat ketiga dimenangi JAKATA dari Zon Telaga Air yang menewaskan JAKASEH (Zon Seberang Hilir).
Penganjuran edisi kedua pertandingan bukan sahaja menjadi medan sukan santai dalam komuniti tetapi juga platform mengukuhkan jalinan silaturahim dalam kalangan KMKK dan ahli parti di peringkat akar umbi.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.-TVS