ABIDJAN, 22 Jun: Parti pemerintah Cote d’Ivoire, Rally of Houphouetists for Democracy and Peace, memulakan kongres keduanya pada Sabtu di Abidjan, yang dijangka menetapkan calon bagi Pilihan Raya Presiden pada 25 Okt ini, lapor Xinhua.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Amedee Kouacou, kongres itu diadakan dalam dua fasa.
Fasa pertama berlangsung pada Sabtu di Pusat Pameran Abidjan, manakala fasa kedua akan diteruskan pada Ahad di Stadium Olimpik Ebimpe, katanya.
Kongres itu dijangka membolehkan parti itu menilai pencapaiannya, merangka hala tuju masa depan dan memilih calon yang akan mewakili parti dalam Pilihan Raya Presiden.
Pemimpin Rally of Houphouetists Alassane Ouattara telah menjadi Presiden Republik itu sejak 2011.
Ketika lawatan ke wilayah-wilayah negara itu, penyokong parti menyuarakan hasrat agar beliau menjadi calon mereka dan bertanding untuk penggal seterusnya.
Ouattara belum membuat pengumuman rasmi tetapi dijangka berbuat demikian selepas kongres. – TVS