MIRI, 22 Jun: Sambutan Ngiling Bidai di Kampung Muhibbah, Kuala Baram sekali lagi menjadi platform penyatuan komuniti pelbagai kaum dan agama dalam suasana harmoni.
Ketua Kaum Kampung Muhibbah, Saat Bos merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat atas semangat perpaduan yang ditunjukkan dalam menjayakan pelbagai program kemasyarakatan seperti Hari Gawai, Hari Raya, Krismas dan Tahun Baru Cina.
“Penduduk kampung ini terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Kayan, Iban dan Cina yang hidup bekerjasama. Seramai lebih 1,000 orang menetap di sini,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan di Balai Raya Kampung Muhibbah, hari ini.
Beliau turut berterima kasih kepada pemimpin tempatan atas usaha menambah lot perumahan untuk masyarakat Iban di kawasan tersebut.
Sementara itu, Penyelaras Komuniti Kampung Muhibbah, Muhammad Azif Amin berkata, sambutan tahun ini lebih meriah dengan penglibatan seramai 1,700 penduduk dari 500 hingga 600 rumah di sekitar Kuala Baram.
“Walaupun diadakan pada hari Ahad, kehadiran pelbagai kaum membuktikan sokongan padu terhadap komuniti Dayak dan semangat perpaduan yang kukuh,” ujarnya.
Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga, Kuin Luat pula menekankan pentingnya nilai toleransi dalam mengekalkan keharmonian.
“Saya berharap kita terus hidup bersama tanpa mengira bangsa dan agama demi keamanan dan kesejahteraan kampung ini,” jelasnya.-TVS