KUCHING, 22 Jun: Stesen Bahan Api Pelbagai (MFS) PETROS Batu Kawa dijangka mula beroperasi tidak lama lagi menjadikannya stesen ke-11 di Sarawak dan stesen andalan kedua yang mampu membekalkan hidrogen di rantau ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian melawat tapak stesen berkenaan hari ini dan diberi taklimat oleh pasukan SEDC Energy (SEDCE) mengenai perkembangan dan ciri-ciri stesen tersebut.
Menurut kenyataan SEDCE, struktur fizikal stesen tersebut siap sepenuhnya dan kini sedang melalui proses akhir bersama pihak berkuasa berkaitan sebelum boleh beroperasi sepenuhnya.
MFS Batu Kawa merupakan stesen andalan kedua selepas MFS Darul Hana yang direka untuk menyediakan bahan api konvensional, pengecas pantas kenderaan elektrik (EV) dan pembekalan hidrogen.
Bekalan hidrogen untuk Batu Kawa akan diperoleh dari MFS Darul Hana yang menempatkan loji pengeluaran hidrogen dengan kapasiti 150 kilogram (kg) sehari.
Bekalan hidrogen akan dihantar menggunakan treler tiub dan akan dibekalkan kepada pelanggan melalui sistem pengisian mudah alih hidrogen (Mobile Hydrogen Refuelling System) iaitu satu model pengedaran pertama seumpamanya di rantau ini.
Awal tahun ini, SEDCE melantik Koperasi Bomba dan Penyelamat Malaysia (KOBOPEM) sebagai pengendali MFS Batu Kawa bagi mewujudkan aliran pendapatan mampan untuk ahli koperasi tersebut.
Setakat ini, sepuluh stesen MFS PETROS beroperasi sepenuhnya di Sarawak iaitu, MFS Darul Hana (Jalan Tun Salahuddin), MFS Daro (Jalan Matu-Daro), MFS Kanowit (Jalan Kubu), MFS Kuala Matu (Jalan Daro–Kuala Matu), MFS Brooke Drive (Sibu), MFS Selangau (Pan Borneo-Selangau), MFS Tatau (Pan Borneo-Tatau), MFS Kapit (Jalan Bleteh), MFS Sungai Asap (Jalan Bintulu-Bakun) dan MFS Jepak (Kampung Jepak).
Dengan siapnya MFS Darul Hana dan Batu Kawa, empat lagi stesen flagship akan dibina di Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.
Pembinaan stesen di Bintulu (Jalan Sultan Iskandar) dijadualkan bermula pada separuh kedua tahun ini.
Stesen andalan tersebut akan menjadi tulang belakang rangkaian pembekalan hidrogen di bandar-bandar utama Sarawak manakala stesen bukan andalan pula menyediakan bahan api konvensional dan kemudahan pengecas EV.
Selain itu, tiga lagi stesen MFS kini dalam pembinaan manakala lebih 40 tapak sedang dalam proses pembangunan di seluruh wilayah ini.
Apabila siap kelak, semua stesen tersebut akan turut menyediakan kemudahan pengecas EV kepada pengguna.
SEDC Energy (SEDCE) yang ditubuhkan pada 2019 sebagai cabang tenaga baharu milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bertanggungjawab membangunkan rantaian nilai hidrogen Sarawak.
SEDCE turut membangunkan loji hidrogen Rembus khusus bagi menyokong Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang kini dalam fasa awal pembinaan.
Hidrogen yang dihasilkan akan digunakan oleh sistem Autonomous Rail Transit (ART) dan bas.
Di samping itu, SEDCE turut menerajui projek hidrogen utama seperti Hab Hidrogen Sarawak yang merangkumi Konsortium Jepun menerusi Projek H2ornbill dan Konsortium Korea Selatan menerusi Projek H2biscus.
Dengan pelbagai projek strategik, SEDCE terus memimpin negara dalam inisiatif hidrogen bersih ke arah penyahkarbonan dan mencapai sasaran Net Zero 2050 untuk Malaysia.-TVS