KUALA TERENGGANU 22 Jun: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan sebuah bot penumpang disyaki beroperasi di luar kawasan yang ditetapkan di dalam lesen dan membawa lebihan muatan petang tadi.
Pengarah Maritim Malaysia Terengganu Kapten Maritim Hamiludin Che Awang berkata bot berkenaan ditahan pihaknya pada 5.30 petang di sekitar Pulau Lang Tengah pada kedudukan 19 batu nautika Timur Laut dari Kuala Besut.
“Setelah diperiksa didapati bot itu berada di luar zon yang diluluskan dan membawa lebihan muatan, sekali gus melanggar syarat utama dalam lesen yang dikeluarkan.
“Nakhoda dan pembantu bot lelaki warga tempatan masing-masing berumur 22 dan 28 tahun didapati membawa 16 orang penumpang ke Pulau Lang Tengah yang tidak dinyatakan dalam lesen bot,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Hamiludin berkata bot berkenaan dibawa ke jeti Maritim Kuala Besut untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952. – TVS