KUCHING, 22 Jun: Hujan tidak mematahkan semangat penonton mahupun kumpulan muzik antarabangsa, La Chiva Gantiva yang menggegarkan pentas Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 di Kampung Budaya Sarawak malam ini.
Memulakan persembahan sekitar jam 9 malam, kumpulan yang berpangkalan di Brussels, Belgium itu memukau ribuan penonton dengan aksi bertenaga dan irama unik mereka yang menggabungkan elemen muzik Afro-Colombia tradisional, rock, funk, afrobeat dan elektronik iaitu satu gabungan yang mereka gelar sebagai Punkclore.
Walaupun hujan mula turun pada lagu ketiga, pengunjung tempatan dan antarabangsa tidak berganjak dari kawasan pentas malah terus menari dan menyanyi bersama.
Ada yang menyarung baju hujan namun tetap kekal menikmati persembahan dalam suasana meriah dan penuh semangat.
Dengan sokongan padu penonton, La Chiva Gantiva membuat persembahan bertenaga dan paling diingati dalam festival tahun ini.
La Chiva Gantiva ditubuhkan sekitar tahun 2011 oleh tiga pelajar Colombia di Belgium dan terkenal dengan aksi pentas yang penuh karisma serta gaya muzik pelbagai budaya merentas sempadan.-TVS