SARATOK, 22 Jun: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menegaskan tidak timbul sebarang isu beliau mengambil kesempatan atas usaha pihak lain berhubung pelaksanaan projek jalan dari Kampung Kupang ke Simpang Jalan Bajau seperti yang didakwa segelintir pihak sebelum ini.
Menurutnya, usaha untuk merealisasikan projek tersebut dimulakan sebelum tahun 2018 termasuk melalui permohonan rasmi dan perbincangan secara langsung dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Permohonan untuk projek ini dibuat sebelum 2018, namun banyak projek ketika itu terhenti akibat ketidaktentuan politik di peringkat Persekutuan.
“Namun, saya tidak berputus asa dan berjumpa sendiri dengan Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang pada Januari 2023 bagi memohon agar pelaksanaan jalan ini dan Jalan Perpat dipercepatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap dakwaan kononnya wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kalaka cuba meraih kredit atas usaha Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju berkaitan projek tersebut.
Mohd Duri menjelaskan, fokus utamanya adalah memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa mengira siapa yang memulakan usaha.
“Saya bersyukur kerana usaha yang dibuat akhirnya membuahkan hasil. Inilah perjuangan kita, rakyat diutamakan, Sarawak First,” ujarnya.-TVS