Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menghadiri sidang media di Pusat Kongres Lutfi Kırdar sempena sesi ke-51 Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, pada 22 Jun 2025. Foto AFP.

Iran kecam serangan AS ke atas tapak nuklear, seru UNSC bertindak

ByBernama

ANKARA, 22 Jun: Iran pada Ahad mengecam serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas tiga tapak nuklearnya dan menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk bertindak, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Iran berkata Iran berhak menentang “pencerobohan AS dan jenayah yang dilakukan rejim itu” dalam mempertahankan keselamatan negaranya susulan serangan AS.

Iran menyeru negara anggota PBB supaya mengutuk serangan AS dan menggesa semua pihak menahan diri bagi mengelak peningkatan konflik, sambil memberi amaran bahawa keadaan itu boleh membawa kesan yang meluas terhadap kestabilan serantau dan global.

“Amerika Syarikat, sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, telah melakukan pelanggaran serius terhadap Piagam PBB, undang-undang antarabangsa dan NPT (Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear) dengan menyerang kemudahan nuklear Iran yang aman,” kata Menteri Luar Abbas Araghchi dalam satu kenyataan.

“Kejadian pagi ini keterlaluan dan akan membawa akibat yang berkekalan. Setiap anggota PBB seharusnya berasa bimbang terhadap tingkah laku yang amat berbahaya, tidak mematuhi undang-undang dan jenayah ini,” katanya.

Menegaskan hak Iran untuk bertindak balas, Araghchi berkata: “Selaras dengan Piagam PBB dan peruntukannya yang membenarkan tindakan sah mempertahankan diri, Iran berhak menggunakan semua pilihan untuk mempertahankan kedaulatan, kepentingan dan rakyatnya.”

Delegasi Iran ke PBB turut secara rasmi mengesa agar Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar pada Ahad untuk membincangkan serangan AS itu.

Dalam surat yang dihantar kepada majlis berkenaan dan disiarkan Agensi Berita Fars, delegasi Iran menggesa agar “tindakan segera diambil dan menerima pakai langkah yang perlu di bawah rangka kerja Piagam PBB.”

Surat berkenaan menekankan keperluan untuk memastikan pelaku jenayah kejam itu dipertanggungjawabkan sepenuhnya agar perbuatan berkenaan tidak terlepas daripada hukuman.

Presiden AS Donald Trump pada awal Ahad berkata tenteranya telah mengebom tiga tapak nuklear Iran di Fordo, Natanz dan Isfahan.

Serangan itu merupakan peningkatan terbaharu dalam serangan tentera Israel yang disokong AS ke atas Iran sejak 13 Jun, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas ke atas Israel.

Sementara itu, menurut Kementerian Kesihatan Iran, serangan Israel telah mengorbankan 430 orang dan mencederakan lebih 3,500 yang lain. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan