KUCHING, 21 Jun: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang menganjurkan Program Kesedaran SDG bertemakan Greening the Earth: Advancing SDG 15 through Tree Planting bertempat di SMK Bandar Samariang, baru-baru ini.
Program tersebut disertai seramai 69 pelajar Semester 5 Diploma Pentadbiran Awam, 26 ahli jawatankuasa Persatuan Voting Education Society UiTM serta lima pensyarah dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi iaitu Nur Afisha Yusuf, Chai Shin Yi, Ivy Jugah, Sharifah Shaneela dan Sarehan Sadikin.
Program tersebut dilaksanakan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim), SDG 15 (Kehidupan di Darat) dan SDG 11 (Bandar dan Komuniti yang Mampan).
Penanaman pokok dilihat sebagai salah satu inisiatif berimpak tinggi dalam memelihara alam sekitar, menyumbang kepada keseimbangan ekosistem dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab menjaga kelestarian bumi.
Selain aktiviti menanam pokok, peserta turut menyusun atur taman herba dan mengecat pasu bunga sebagai sebahagian daripada usaha memperindah serta memulihara persekitaran sekolah.
Menurut Ketua Projek, Nur Afisha Yusuf, program tersebut merupakan satu inisiatif berterusan UiTM Sarawak dalam mendidik masyarakat terutamanya golongan pelajar agar lebih peka terhadap isu alam sekitar dan berperanan aktif dalam memastikan kelestarian sumber alam semula jadi untuk generasi akan datang.-TVS