KUCHING, 22 Jun: Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2025 bakal melabuhkan tirainya malam ini selepas berlangsung sejak 15 Mei lalu, memperlihatkan keunikan budaya masyarakat Dayak yang diraikan meriah di seluruh wilayah ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Gerawat Gala berkata, keyakinan bahawa nilai dan adat Gawai masih utuh meskipun berdepan arus pemodenan.
“Dahulu Gawai disambut di rumah panjang, kini diraikan di peringkat wilayah ini. Ia satu perkembangan positif bukan sahaja untuk masyarakat Dayak tetapi seluruh rakyat Sarawak.
“Acara ini menjadi jambatan untuk saling memahami dan menghargai kepelbagaian budaya,” katanya ketika ditemui semasa persiapan terakhir Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang menyifatkan sambutan Gawai sebagai penghubung antara generasi lama dan baharu.
Beliau berkata, pendekatan inklusif dan digital turut diterapkan selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Tahun ini kita gabungkan elemen tradisional dengan sentuhan digital. Contohnya, tiang hiasan mengekalkan gaya konvensional manakala laluan masuk menampilkan seni digital yang meraikan kepelbagaian kaum.
“Kita mahu tunjukkan bahawa komuniti Orang Ulu di pedalaman juga tidak ketinggalan dalam arus teknologi digital,” ujarnya.
Sambutan Gawai Dayak 2025 merupakan kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Malaysia (FORUM) selaku penganjur utama.
Antara program yang dianjurkan termasuk Bazar Gawai Dayak di MJC Batu Kawa, Karnival Gawai Tradisi di Bangunan FORUM Miri dan Perarakan Niti Daun Gawai Dayak 2025 di Tebingan Kuching.
Kemuncak sambutan ialah Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2025 di BCCK malam ini yang bakal diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.-TVS