KUCHING, 22 Jun: Seni pembuatan bath bomb menjadi antara tarikan unik Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 menerusi bengkel interaktif anjuran Sarawak At Very Own (SAVO) yang turut mempromosikan produk usahawan tempatan.
Pengusaha SAVO, Sharifah Nur Maisarah Wan Asmadi berkata, bengkel tersebut bukan sahaja menyeronokkan malah memberi pendedahan tentang teknik menghasilkan bath bomb berkualiti berbanding produk siap yang kadang kala kurang berkesan.
“Kadang kala apabila kita beli bath bomb dari kedai, hasilnya mengecewakan. Di SAVO, kami ajar teknik yang betul supaya peserta dapat hasil yang memuaskan dan menyeronokkan,” katanya kepada TVS pada bengkel berkenaan sempena RWMF 2025 di sini, hari ini.
Tambahnya, proses pembuatan bath bomb mudah dan boleh disiapkan dalam masa 15 minit menggunakan bahan asas yang mudah diperoleh.
“Secara asasnya, hanya dua komponen terlibat iaitu bahan kering dan bahan basah. Kami memilih bath bomb kerana ia lebih ringkas dan sesuai dipelajari oleh peserta dari pelbagai peringkat umur,” jujarnya.
Empat bahan kering utama digunakan ialah serbuk penaik, garam epsom, asid sitrik dan tepung jagung.
Campuran tersebut digabung dengan air, minyak dan pewarna makanan untuk menghasilkan produk yang menarik dan mesra pengguna.
Penganjuran bengkel tersebut merupakan antara inisiatif RWMF dalam menggabungkan elemen kesenian tempatan dan pelancongan budaya serta memberi peluang kepada pengunjung untuk menyokong produk tempatan secara langsung.-TVS