KOTA SAMARAHAN, 22 Jun: Program advokasi perlindungan kanak-kanak bukan sahaja menekankan aspek perundangan tetapi turut membongkar realiti sebenar yang berlaku dalam masyarakat termasuk isu penderaan, pengabaian dan eksploitasi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pendedahan tersebut penting untuk mendidik masyarakat tentang hak kanak-kanak dan tindakan yang boleh diambil apabila berdepan situasi sedemikian.
“Program seperti ini memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa wujud perlindungan dan undang-undang untuk kanak-kanak. Anak-anak juga mempunyai hak untuk hidup dan dilindungi, sama seperti orang dewasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak di Kota Samarahan, hari ini.
Beliau turut menggesa orang ramai agar berani tampil membuat laporan sekiranya berlaku sebarang insiden penderaan demi melindungi keselamatan kanak-kanak.
Menurutnya, sebanyak 572 kes pengabaian kanak-kanak dilaporkan di Sarawak bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Jumlah ini menunjukkan keperluan mendesak untuk tindakan proaktif bagi membendung penderaan kanak-kanak. Malah, berkemungkinan masih banyak kes yang tidak dilaporkan atau tidak disedari masyarakat,” ujarnya. – TVS