MIRI, 21 Jun: Tindakan pantas pemilik berjaya menyelamat kedai miliknya terbakar di Bandar Baru Permyjaya, Jalan Dato Permaisuri, Lutong di sini, hari ini.
Ketua Balai Lutong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 2.50 petang dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran melibatkan satu unit penghawa dingin yang menyebabkan kerosakan lebih kurang 20 peratus pada struktur bangunan.
“Api telah dipadam sepenuhnya oleh pemilik kedai runcit tersebut dengan menggunakan satu unit alat pemadam api jenis debu kering,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, setelah membuat size up berpandukan konsep RECEO pihak bomba membuat pemantauan sekitar lokasi bagi memastikan api telah padam sepenuhnya.
“Kebakaran tiada melibatkan kecederaan, punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.-TVS