SUNGAI BULOH, 21 Jun: Beberapa sekolah di kawasan Parlimen Sungai Buloh bakal menerima tambahan bilik darjah bagi mengatasi masalah kepadatan pelajar yang semakin meningkat.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, langkah itu diambil susulan pertambahan jumlah pelajar di kawasan tersebut, sekali gus memerlukan infrastruktur pendidikan yang lebih mencukupi.
Menurut beliau, antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana, SMK Bandar Baru Sungai Buloh, SMK Siaramas, SMK Bukit Gading, Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 6 Kota Damansara dan SK Sri Pristina, yang masing-masing akan menerima bilik darjah tambahan mengikut keperluan semasa.
“Saya sangat berterima kasih kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang banyak membantu sekolah-sekolah, bukan sahaja di Sungai Buloh tetapi juga di seluruh negara.
“Tetapi saya ucapkan penghargaan khusus kepada beliau atas keprihatinan terhadap warga Sungai Buloh,” katanya pada Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di sini hari ini.
Majlis tersebut menyaksikan seramai 311 pelajar cemerlang SPM 2024 menerima insentif daripada Yayasan Bank Rakyat sebagai penghargaan atas pencapaian akademik mereka.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kos keseluruhan projek tambahan bilik darjah tersebut, Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, jumlahnya akan diumumkan kemudian bagi mengelakkan gangguan terhadap proses tender yang sedang berlangsung.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) akan melaksanakan pembinaan ini melalui Jabatan Kerja Raya (JKR). Tetapi biarlah proses itu berjalan terlebih dahulu dan ia akan diumumkan oleh pihak JKR kemudian,” jelasnya. – TVS