BUKIT MERTAJAM, 21 Jun: Seorang lelaki warga emas yang ditahan kerana disyaki melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Penaga, Kepala Batas dekat sini semalam, telah direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Perintah reman sehingga 24 Jun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379A dan 363 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, media melaporkan bahawa polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) bisu selepas dilarikan oleh seorang lelaki menggunakan kereta milik bapa mangsa di sebuah bengkel kenderaan di Penaga.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Anuar Abd Rahman, kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu berlaku ketika ibu mangsa meninggalkan anaknya di dalam kereta yang enjinnya masih hidup untuk menghantar minyak hitam ke bengkel tersebut.
Katanya, ibu mangsa berjaya mengesan lokasi anaknya menggunakan aplikasi pengesan keluarga, Life360, melalui telefon pintarnya yang berada bersama mangsa ketika kejadian, sebelum suspek berjaya diberkas polis. – TVS