KUCHING, 21 Jun: Pertandingan Trafik Sarawak (STG) 2025 dilihat sebagai platform dinamik dalam mendidik dan memupuk kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penganjuran semula pertandingan tersebut menyasarkan penglibatan pelajar sekolah sebagai pendekatan proaktif bagi melengkapkan mereka dengan ilmu dan kemahiran berkaitan peraturan serta disiplin di jalan raya.
“Salah satu cara untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya ialah melalui pendidikan dari peringkat awal terutamanya sekolah rendah.
“Berdasarkan maklum balas yang kami terima, ramai peserta yang pernah menyertai pertandingan ini lebih 40 tahun lalu masih mengingati peraturan yang mereka pelajari hingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui media sempena Pertandingan Trafik Sarawak – Kuching 2025 di sini, hari ini.
Edisi Kuching kali ini menyaksikan penyertaan lebih 200 pelajar daripada 10 sekolah sekitar Kuching termasuk SK St Teresa, SK Kenyalang, SMK Green Road dan SMK Pending.
STG 2025 memulakan siri pertandingannya sejak November 2024 dengan Miri menjadi lokasi pertama sekali gus mengembalikan nostalgia penganjuran awal pertandingan tersebut di bandar minyak berkenaan.
Siri pertandingan tersebut akan berlangsung sehingga November 2025 dan menggunakan taman trafik sedia ada yang terdapat di Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri dan Sarikei yang dibangunkan khusus untuk tujuan simulasi keselamatan jalan raya.
Untuk rekod, pertandingan tersebut dahulunya dikenali sebagai Shell Traffic Games yang diperkenalkan pada tahun 1963 hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Sarawak dan Shell Malaysia.
Ia kali terakhir dianjurkan pada tahun 2015 sebelum dihidupkan semula pada 2024 dengan penjenamaan baharu sebagai Pertandingan Trafik Sarawak (Sarawak Traffic Games). – TVS