KUCHING, 21 Jun: Penganjuran semula Pertandingan Trafik Sarawak (STG) oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak menerima sambutan positif daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya dalam kalangan pelajar dan pendidik.
Bagi pelajar berusia 15 tahun, Fellynavia Liai Arthur, pertandingan tersebut menjadi peluang berharga untuk memperoleh pengalaman praktikal serta simulasi interaktif berkaitan keselamatan jalan raya.
“Saya menyertai pertandingan ini untuk lebih memahami peraturan dan undang-undang jalan raya selain mempersiapkan diri menghadapi ujian lesen memandu kelak,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Trafik Sarawak – Kuching 2025 di sini, hari ini.
Sementara itu, guru pengiring Judith Kalven, 37, menyifatkan pertandingan berkenaan sebagai wadah terbaik dalam memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang kepentingan keselamatan lalu lintas.
“Penganjuran pertandingan ini sangat baik kerana ia mendidik pelajar mengenai keselamatan dan peraturan jalan raya. Ia juga menyokong pendidikan nilai seperti berhemah di lampu isyarat dan berdisiplin ketika berada di jalan raya,” ujarnya.
Seorang lagi peserta, Grace Pura Unya, 12, turut berkongsi pandangan bahawa pertandingan tersebut menjadikannya lebih peka dan bertanggungjawab ketika berada di jalan raya.
“Pertandingan ini memberi saya pengalaman berguna dan mempersiapkan diri untuk menjalani ujian pemanduan apabila tiba masanya nanti,” jelasnya.
Pertandingan Trafik Sarawak dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak memupuk kesedaran keselamatan jalan raya dari peringkat awal dan menyemai sikap bertanggungjawab dalam kalangan generasi muda. – TVS