KUCHING, 21 Jun: Ribuan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini tidak mahu melepaskan peluang bagi sama-sama menyaksikan kemeriahan perarakan Niti Daun, salah satu acara kemuncak dalam sambutan Gawai Dayak 2025 yang bermula di Bangunan Tun Jugah dan berakhir di Tebingan Kuching di sini, hari ini.
Perarakan tahunan yang penuh warna-warni ini menyaksikan penyertaan kontijen dari seluruh Sarawak serta wakil dari Sabah dan Kalimantan, meskipun cuaca panas terik, semangat para peserta tetap membara, menjadikan perarakan kali ini antara yang paling meriah pernah diadakan.
Pengerusi DBNA Cawangan Siburan, Janer Jikel, menyifatkan penyertaannya untuk kali ketiga dalam perarakan ini sebagai satu pengalaman yang amat bermakna.
“Walaupun cuaca agak panas, saya tetap berasa sangat seronok. Apa yang lebih membanggakan, persiapan setiap kontijen tahun ini semakin meningkat, baik dari segi aksesori mahupun kreativiti dalam mempersembahkan hasil tuaian mereka. Perarakan ini wajar diteruskan kerana ia memperlihatkan keindahan kepelbagaian budaya masyarakat Sarawak,” katanya kepada TVS.
Keunikan Perarakan Niti Daun tahun ini turut diserlahkan dengan penglibatan komuniti Orang Ulu sebagai penganjur utama. Penganjuran ini memberikan ruang kepada masyarakat Orang Ulu untuk mengetengahkan budaya mereka yang kaya dengan tradisi dan penuh warna-warni.
Pengurus Kontijen Persatuan Bangsa Kejaman Sarawak, Jacquelyne Ekot yang menyertai buat kali kedua, turut berkongsi pengalaman positif sepanjang terlibat dalam perarakan tersebut.
“Secara peribadi, Niti Daun ini memberi pengalaman berharga  saya dapat menyaksikan sendiri bagaimana pelbagai kaum dan etnik berhimpun untuk mempersembahkan keunikan budaya masing-masing. Tahun ini kami lebih bersedia, dengan pengumpulan 30 peserta dan perancangan yang dibuat sebulan lebih awal,” jelasnya.
Turut menyemarakkan perarakan ialah Kontijen Kadazandusun Cultural Association (KDCA) Sarawak yang membawa identiti budaya Sabah ke pentas Sarawak.
Pengerusinya, James Samit, mengakui bahawa penyertaan dalam perarakan ini merupakan satu penghormatan besar buat komuniti Kadazandusun.
“Ini kali ketiga KDCA Sarawak menyertai perarakan ini. Kami sangat gembira diberi ruang untuk bersama-sama komuniti Sarawak, lebih-lebih lagi dengan kehadiran rakan-rakan dari Dayak Kalimantan. Kami berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.
Kemuncak acara tahun ini adalah kemenangan Kumpulan Raban Betong yang dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Gawai Dayak Cultural Parade 2025.
Menurut pengurusnya, Sigat Anak Sang, kemenangan itu merupakan hasil usaha berterusan selama berbulan-bulan meskipun berdepan cabaran logistik.
“Kami mula merancang sejak awal Mei lalu. Cabaran utama adalah logistik kerana ahli-ahli kami tinggal berjauhan. Namun dengan sokongan dua wakil rakyat Betong serta kerjasama ketua-ketua NGO, kami berjaya menyusun latihan dan persembahan yang membanggakan,” jelasnya.
Lebih istimewa, kumpulan Raban Betong turut memperkenalkan elemen teknologi moden dalam persembahan mereka dengan membawa humanoid wanita yang dinamakan Endu serta sebuah robot berbentuk anjing. Persembahan itu menjadi simbol kepada usaha mereka mengangkat nama Betong seiring dengan perkembangan teknologi masa kini.
“Matlamat kami bukan sekadar memenangi hadiah, tetapi untuk menunjukkan kepada seluruh Sarawak bahawa Betong mampu bersatu padu dan bergerak maju, baik dalam aspek budaya mahupun teknologi,” tambah Sigat.-TVS