KOTA SAMARAHAN, 21 Jun: Sarawak mencatat peningkatan sebanyak 120 peratus kes penyalahgunaan dadah berulang iaitu daripada 319 kepada 703 kes hingga April tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah itu, golongan belia turut mencatatkan peningkatan kes sebanyak 104 peratus iaitu peningkatan dari 1,392 ke 2,840 orang.
Justeru, beliau menyeru agar semua golongan termasuk golongan belia dan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini agar tidak sesekali mencuba dadah atas apa juga alasan.
“Apabila sekali anda terjebak walaupun dengan tujuan yang sangat bagus, akhirnya yang bermula dengan mencuba itu akan berakhir dengan ketagihan.
“Jadi ini yang kita mahu pastikan di kalangan pelajar di Pusat Pengajian Tinggi, jangan mencuba (malah) jangan sesekali pun mendekati dadah,” katanya ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Anti Dadah 2025 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Arena Gemilang, DeTAR, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini.
Tambah Fatimah lagi, Kerajaan Sarawak memberikan tumpuan penuh dalam menangani isu dadah dan penyalahgunaan substans dengan menubuhkan Pusat Sehenti bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) dengan penglibatan dan kerjasama jabatan penguatkuasaan dan bukan penguatkuasaan yang menganggotai Jawatankuasa MIDS sejak dari tahun 2019.
MIDS turut merangka enam pelan tindakan di Sarawak dengan fokus utamanya menyekat bekalan dan permintaan dadah dan substans
Turut diberikan tumpuan adalah kepada pemulihan di kalangan penagih menerusi usaha dalam memperkasakan Komuniti Kepulihan di Sarawak.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Fitri Suraya Mohamad Hapni dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Antidadah Kebangsaan Malaysia, Khairul Anwar Bachok-TVS