KUCHING, 21 Jun: Syarikat tenaga lestari, RAW Power memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat teknologi tenaga antarabangsa, DP CleanTech bagi membangunkan projek loji jana kuasa biojisim berskala besar di Sarawak.
Projek strategik tersebut dijangka membolehkan Sarawak menjana tenaga sendiri melalui sumber mampan, sekali gus membekalkan tenaga elektrik berkarbon negatif kepada aset kerajaan, pelanggan korporat dan pusat data selaras dengan agenda tenaga hijau negeri.
Kerjasama tersebut menggabungkan pengalaman lebih 30 tahun DP CleanTech dalam mereka bentuk dan melaksanakan lebih 300 projek pembakaran biojisim di seluruh dunia bersama kepakaran 15 tahun RAW Power dalam mengusahakan Hybrid Tropical Grass (HTG) iaitu sejenis tanaman tenaga mampan berkarbon rendah yang boleh diproses menjadi bahan api pepejal, biofuel atau digunakan terus untuk penjanaan tenaga.
Projek tersebut turut merancang untuk menerapkan teknologi Bioenergy Carbon Capture and Storage (BECCS) iaitu satu kaedah menangkap dan menyimpan karbon dari proses penjanaan tenaga biojisim bagi mengukuhkan lagi keupayaan tenaga karbon negatif.
Sebagai sebahagian daripada perancangan teknikal, delegasi RAW Power bersama wakil Kerajaan Sarawak telah melawat Loji Jana Kuasa Ely di Cambridge, United Kingdom yang beroperasi selama 25 tahun menggunakan teknologi DP.
Kejayaan loji tersebut mengukuhkan keyakinan bahawa biojisim mampan adalah kunci kepada keperluan tenaga masa depan Sarawak dan rantau sekitarnya.
Satu aspek inovatif dalam kerjasama tersebut ialah pendekatan perkongsian risiko antara semua pihak berkepentingan yang dilaksanakan menerusi keputusan kerjasama untuk mengurangkan kos berkaitan perundingan, perundangan dan proses rundingan sekali gus mempercepatkan pembangunan loji jana kuasa.
Ketua Pegawai Eksekutif DP CleanTech, Simon Parker berkata, proses pembangunan tenaga kini semakin kompleks dan mahal dan kerjasama seperti itu dapat mempercepatkan hasil secara lebih efisien.
“Model kolaboratif ini bertujuan memperbaiki proses pembangunan projek bagi hasil yang lebih cepat dan berkesan. Penglibatan RAW Power dalam pendekatan ini menunjukkan komitmen bersama terhadap pembangunan biojisim mampan di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RAW Energy, Ramsay Wilson berkata, kerajaan dan sektor korporat Sarawak kini sedang meneliti potensi loji jana kuasa biojisim berasaskan HTG yang mampu menjana kapasiti antara 50 hingga 400 megawatt (MWe).
“Gabungan HTG kami dan teknologi DP mencerminkan visi untuk membangunkan tenaga berkarbon negatif yang mampan, berskala dan berasaskan proses semula jadi. Kami komited untuk menetapkan penanda aras baharu dalam penyelesaian tenaga boleh diperbaharui bertaraf global,” ujarnya.-TVS