TUARAN, 21 Jun: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun cedera ringan selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terbalik dalam kemalangan di Jalan Kampung Bongol, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 5.33 pagi melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza.
“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Sepasukan 10 anggota dari BBP Tuaran digerakkan ke lokasi kejadian dengan satu jentera FRT dan satu unit EMRS.
Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada ancaman bahaya sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.32 pagi.
Kes disahkan sebagai kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan terbabas sendiri tanpa melibatkan kenderaan lain. – TVS